Studentkit2u: 5 Bahasa Cinta Yang Anda Mesti Tahu

Thursday, 7 March 2013

5 Bahasa Cinta Yang Anda Mesti Tahu


Pentingkah saya mengetahui kesemua 5 bahasa cinta ini? Anda sendiri akan menjawab persoalan ini setelah anda telah tahu kepentingan setiap bahasa cinta yang akan dihuraikan selanjutnya di sini. Saya pasti anda selalu dengar kebanyakan orang mengatakan manusia itu “rambut sama hitam, hati lain-lain”,nah, di sini telah membuktikan setiap individu itu memiliki personaliti yang tersendiri. Anda mungkin pernah mengalami situasi di mana betapa susahnya anda
cuba untuk mendekati dan bermesra dengan seseorang yang anda sayangi seperti rakan anda, ibu bapa anda, adik-beradik anda, guru-guru anda dan masyarakat di sekeliling anda atau anda sendiri merasakan orang yang anda
sayangi tersebut tidak tahu tentang perasaan dan bahasa cinta yang anda perlukan untuk mengisi ‘tangki cinta’ anda yang kosong. Secara mudahnya, bayangkan jika kereta anda kehabisan minyak di tengah lebuhraya Karak pada waktu tengah malam. Adakah anda ingin salahkan kereta anda? Sedangkan  anda lupa dan tidak mengambil berat untuk mengisi minyak ke dalam tangki minyak kereta anda yang kosong itu sebelum bertolak. Disebabkan itu, kereta itu tidak dapat dipandu lagi untuk membawa anda ke destinasi yang ingin anda tuju, maka tersadailah anda di tengah lebuhraya Karak yang cukup sinonim dengan sebutan ‘tempat keras’. Samalah seperti diri anda yang mengalami kekosongan ‘tangki cinta’ ini, anda akan merasakan diri anda kosong dan selalu sahaja timbul perasaan marah kepada seseorang atau lebih dikenali sebagai ‘bad mood’, inilah yang sering berlaku kepada setiap individu, pernah tak ini terjadi kepada anda? Jika anda pernah melalui kesemua situasi di atas, penulis sarankan anda untuk teruskan bacaan anda jika anda betul-betul ingin mengetahui orang lain dengan lebih baik dan lebih penting sekali memahami diri anda sendiri.

    Mesti anda tidak sabar-sabar untuk mengetahuinya, baiklah, 5 bahasa cinta ini diambil daripada buku “5 Love Languanges” yang ditulis oleh Gary Chapman. Untuk pengetahuan anda, setiap seminar yang dilangsungkan  untuk mengenali 5 bahasa cinta ini dikenakan bayaran ribuan ringgit kepada setiap peserta.  Ia sebenarnya adalah kemahiran anda berkomunikasi  untuk memberitahu orang di sekeliling anda betapa anda sayangkan mereka, mengambil berat terhadap mereka, dan menghargai mereka.


     Bahasa cinta yang pertama adalah ‘word of affirmation’ yakni orang yang memiliki bahasa cinta ini mendahagakan ucapan penghargaan atau pujian dari anda. Contohnya, “saya berasa bangga dengan kamu!’’, "kamu adalah kawan baik saya!”, “Kamu nampak hebat hari ini!”, “saya sayang kamu”, “kamu seorang yang baik!” dan banyak lagi kata-kata seperti yang boleh diucapkan pada seseorang yang memiliki bahasa cinta ini. Ini tidak bermaksud seseorang itu makan angkat tapi inilah bahasa cinta yang dia miliki, bahkan jika anda tidak mampu untuk menyampaikan bahasa cinta ini melalui perkataaan, sudah memadai bagi anda sekadar menulisnya dan tunjukkan kepada mereka.


    Seterusnya, bahasa cinta yang kedua ialah ‘quality time’. Anda akan dapati bahawa orang yang memiliki bahasa cinta ini memerlukan 100% perhatian dan fokus anda ketika bersama mereka. Golongan ini tiadak mementingkan wang ringgit anda atau hadiah yang besar dari anda, tapi apa yang mereka perlukan adalah kelapangan dan pelaburan masa anda bersama mereka.Contoh mudah yang anda dapat lihat ketika mana seseorang anak yang sudah tamat belajar dan mendapat pekerjaan yang baik malah terpaksa berjauhan dengan keluarga mereka, anak ini akan cuba memberikan wang ringgit dan sebagainya kepada ibu bapa mereka tapi sering kali kebanyakan ibu bapa sering bertanya bilakah anak kesayangan mereka akan pulang ke kampung untuk meluangkan masa bersama mereka, anda setuju? Contoh lain, anda mengatakan bahawa duduk bersama di sofa menonton televisyen adalah ‘quality time’ anda bersama orang yang anda sayangi, hakikatnya apa yang dikatakan ‘quality time’ adalah anda duduk bersama mereka di sofa dengan TV ditutup dan mula berbual dan terus berbual antara satu sama lain.


    Pada bahasa cinta yang ketiga ini, penulis mahu anda bayangkan semula lakonan arwah Tan Sri P. Ramlee dalam filem Ahmad Albab ketika mana Syawal(P. Ramlee) dan isterinya pergi ke majlis ulang tahun kelahiran ayahandanya. Sudah? Apa yang kita dapat lihat di sini, pada permulaannya, Syawal hanya mampu memberikan sekampit gula dan garam kepada ayahandanya, dan apa reaksi ayahandanya? Dihina dan ditolak pemberian anaknya Syawal kerana tidak memenuhi bahasa cinta yang ayahandanya inginkan. Bahasa cinta kali ini ialah ‘receiving gifts’ yakni menerima hadiah atau sesuatu yang dianggap bernilai dan merasakan diri mereka dihargai oleh anda. Kebanyakan orang yang memiliki bahasa cinta ini bukanlah seperti ayah Syawal yang mahukan hadiah yang berprestij tinggi(materialistik), bahkan apa yang mereka lihat adalah perasaan timbang rasa dan usaha anda di sebalik mendapatkan hadiah tersebut untuk diberikan kepada mereka walau hadiah tersebut tidak mahal dan berjenama. Jadi, apa kata anda cuba bahasa cinta ini kepada kawan anda dengan hanya memberikan beberapa biji coklat kepadanya dan lihat apa reaksinya.


   Pernahkah anda merasakan sangat berbesar hati, rasa dihargai dan begitu suka terhadap seseorang yang mahu membantu meringankan kerja anda seperti seterika baju anda, masak untuk anda, tolong buang sampah untuk anda tolong bayarkan bil untuk anda, atau ada yang ingin membantu anda dalam memahami mana-mana subjek pelajaran yang anda rasa sukar untuk faham? Lebih-lebih lagi, perkataan yang anda suka dengar dari seseorang itu ialah “biarkan saya buat untuk kamu’’. Golongan yang memiliki bahasa cinta ini mereka tahu betapa sukarnya untuk mencari seseorang yang secara semulajadi yang ingin menawarkan bantuan kepada mereka. Bahasa cinta yang  keempat ini ialah “acts of service’’.


  Sebelum penulis teruskan untuk bahasa cinta terakhir ini, adakah anda sudah mengenal pasti manakah bahasa cinta yang anda miliki dalam keempat-empat bahasa cinta di atas? Jika masih samar-samar lagi, teruskan bacaan anda untuk bahasa cinta yang kelima ini iaitu “physical touch”. Bahasa cinta ini bukanlah sentuhan dari segi seksual tapi lebih kepada sentuhan kasih sayang. Sebagai contoh, jika anda berasa gembira dan bahagia apabila seseorang yang anda sayang(muhrim, suami isteri atau rakan sejantina anda) memeluk anda, menepuk belakang  anda atau belaga pipi ketika bertemu dengan anda, jika ya, anda berada dalam golongan orang yang memerlukan sentuhan kasih sayang untuk mengisi ‘tangki cinta’ anda yang kosong itu.

     Nampaknya, anda sudah mengenali kelima-lima bahasa cinta yang dihuraikan secara ringkas di atas tetapi sekiranya anda mahu tahu lebih mendalam berkaitan 5 bahasa cinta ini, anda bolehlah hadirkan diri anda ke mana-mana seminar yang dianjurkan. Jadi, jika anda sudah tahu bahasa cinta anda, penulis mencadangkan anda berkongsi bahasa cinta anda ini dengan orang-orang yang anda sayangi agar ‘tangki cinta’ anda sentiasa penuh dan anda berasa bahagia untuk meniti hari-hari akan datang. Jika anda masih tercari-cari apakah bahasa cinta anda, bolehlah anda klik website di bawah ini untuk menjawab hanya beberapa soalan dan kemudian lihat hasil skor bahasa cinta anda yang mana satukah paling tinggi. Penulis sendiri telah mencubanya, dan mendapat skor yang paling tinggi untuk bahasa cinta “quality of time” termasuk juga adik penulis Nur Diyana memiliki bahasa cinta yang sama. Oleh itu, jika terserempak dengan penulis di mana-mana, anda tahu apa yang perlu dilakukan.

     Apa-apapun, pastikan cinta anda kepada makhluk tidak melebihi cinta anda kepada Ilahi. Bahkan apabila orang yang anda sayangi itu melakukan maksiat kepada Allah, anda mesti menegurnya atau sekiranya tidak mampu juga anda terpaksa menjauhinya kerana cinta anda kepada yang Esa. Wallahu’alam.

                                                                             
                                                                                                     Penulis: Ahmad Faris
credit to: Real Leaders Solution











1 comment:

#Tolong berikan komen yang memberi manfaat kepada orang lain dan dilarang keras melakukan SPAM di sini# Terima kasih

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...