Studentkit2u: Life 4 Allah

Thursday, 28 March 2013

Life 4 Allah



Assalammu’alaikum dan selamat sejahtera.

     ‘’Hidup untuk Allah”. Kalimah ini mungkin nampak mudah untuk dijelaskan oleh sesetengah insan tapi tidak bagi saya.  Apa yang dikatakan hidup untuk Allah ini? Sedangkan dikisahkan seorang sahabat Nabi iaitu Abu Dzar al Ghifari di mana pada suatu ketika beliau ditegur oleh Baginda Rasulullah ‘’Dalam diri kamu masih terdapat saki baki jahiliah”. MasyaAllah! Lihatlah, seorang insan yang bergelar sahabat Rasulullah ini pun ditegur semikian rupa tentang cara hidupnya apatah lagi kita yang hidup jauh sekali dari kurun Rasulullah, tidak dapat bersua muka dengan Baginda, berjabat erat tangan Baginda, bertalaqqi(menuntut ilmu secara berguru) dengan Baginda dan berjihad bersama Baginda.

     Cuba kita renungi  dan tanya kembali kepada diri kita, adakah kita sudah yakin kehidupan 24 jam sehari yang kita lalui setiap detik dan saat ini adalah menuruti cara hidup Islam. Apakah bezanya rutin harian kita dari bangun tidur sehingga tidur kembali dengan orang kafir di luar sana? Cuba kita senaraikan sekejap.
Sudah? Saya yakin hampir kesemua rutin harian kita adalah sama sahaja seperti mereka seperti bangun tidur, mandi bersiap ke kelas,makan , belajar, bermain, berfacebook, berpersatuan dan tidur kembali, betulkah? Jadi, apa bezanya amalan yang dilakukan mereka dengan kita? Betapa beruntungnya kita sebagai orang Islam di mana setiap amalan yang kita lakukan dikira ibadah di sisi Allah Subhanallahu Ta’ala sekiranya ia dilakukan seiring dengan:
1) Syara’
2)Ikhlas kerana Allah
  
                                     
"Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia, kecuali agar mereka beribadah kepadaKu''

       Tambahan lagi, amalan yang dilakukan orang Islam ini bukan sahaja untuk diri mereka sendiri bahkan orang disekeliling mereka turut mendapat manfaat dan tempias kebaikan dari amalan mereka. Subhanallah!!
“Apabila hidup ini hanya untuk diri kita, maka akan tampak bagi kita bahawa kehidupan kecil dan singkat. Yang dimulai sejak kita memahami erti hidup dan berakhir hingga batas umur kita. Tetapi apabila kita hidup juga untuk orang lain maka jadilah hidup ini bermakna panjang dan dalam. Bermulanya dari adanya kemanusiaan itu sendiri dan berlanjut sampai kita meninggalkan dunia ini.’’
-Sayyid Qutub-
    
       Persoalannya, adakah amalan yang kita lalui seharian itu betul-betul dikatakan kehidupan sebagai seorang hamba Allah? Apabila ditanya siapakah musuh kita? Kebanyakkan pasti memberikan jawapan syaitan dan nafsu, atau ada yang disebut pula nama rakan kita disebabkan baru bergaduh sekejap tadi? Hehe. Sebenarnya begitu banyak musuh kita yang berlegar kiri kanan atas bawah kita yang perlu kita tahu. Contoh yang paling jelas ialah masyarakat zaman kita sudah disuntik pelali dakyah orang kafir dalam menguasai akal pemikiran dan tindak tanduk  seharian kita sebagai hamba Allah.

       Apa tidaknya, kita dapat melihat masyarakat kita terutamanya para pemuda pemudi pemimpin Islam  generasi akan datang telah terpengaruh dengan agenda yang dibawa oleh orang kafir seperti fahaman sekularisme, femanisme, liberalism, pluralism, animisme, konsep 4S(Sport,Screen,Sex,Song) dan pelbagai lagi. Oleh kerana itulah kita mesti faham apa erti kita menganut Islam sehinggakan Imam Hasssan Al Bana  menghuraikan 20 prinsip faham supaya kita betul-betul memahami ajaran Islam. InsyaAllah,20 prinsip faham ini akan dihuraikan pada artikel akan datang. Sebab itulah tidak hairan kita melihat kebanyakan dari kita mempertuhankan kerjaya, menzalimi orang lain, berasa biasa dan mudah melakukan dosa besar kepada Allah.

     Sama-samalah kita bermuhasabah diri kita kembali, adakah amalan yang kita lakukan setiap detik dan saat ini dinilai sebagai ibadat di sisi Allah kerna amalan yang tidak diterima di sisi Allah hanyalah sia-sia sahaja. Ingatlah! Tidak lain tidak bukan ‘’Hidup ini untuk Allah’’ agar kita mendapat kebahagiaan sebenar dalam kehidupan kita.  “Kebahagiaan itu diibaratkan seperti sebatang pohon yang rendang, tempatnya tumbuhnya adalah jiwa dan perasaan, ketakwaan kepada Allah adalah merupakan air, udara, dan cahaya yang membantu pertumbuhannya’’ –Yusuf al Qardawi-






Credit: Usrah Abu Burn
           Kelas Pengajian ''Apa erti saya menganut Islam" API UM


Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment

#Tolong berikan komen yang memberi manfaat kepada orang lain dan dilarang keras melakukan SPAM di sini# Terima kasih

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...