Saban tahun,
situasi ini akan sentiasa berulang, dari generasi ke generasi tanpa ada paksaan
dari mana-mana pihak ibarat jarum jam
yang berputar dari angka 12 dan akan kembali semula ke angka 12. Ya, begitulah
juga kehidupan yang anda harungi dengan penuh suka duka sekarang ini, ia tidak akan kekal selamanya
dan anda pasti kembali bertemu semula dengan Pencipta anda. Situasi yang
penulis cuba sampaikan di sini ialah tidak dapat tidak setiap tahun
sahaja anda
pasti akan melihat keghairahan setiap pelajar mencari tajaan biasiswa untuk
meneruskan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi termasuklah diri
anda sendiri, betul tak? Apa tidaknya, biasisiwa yang berjaya diperoleh itu
bukanlah sikit jumlahnya bahkan sehingga seseorang pelajar itu mampu untuk
memiliki gajet-gajet terkini, kenderaan sendiri atau digunakan untuk mas
kahwin, mas kahwin? Mungkin ada antara kita yang berpendapat apa salahnya untuk
kita menikah pada usia muda ini sedangkan pada zaman millenium ini banyak pancaroba yang boleh menjurus kita ke
pintu zina. Tepuk dada, tanya iman masing-masing. Dr. Zaharudin seorang yang
tidak asing lagi bagi kita, terkenal kepakarannya dalam bidang muamalat,
sendiri dalam blognya mengatakan harus kita gunakan wang biasiswa untuk apa jua
tujuan kerana ia adalah wang yang telah diserahkan miliknya kepada pelajar
tetapi perlu juga dipastikan tidak
menyalahi isi kandungan perjanjian dengan pihak penaja. Penulis sendiri tidak menafikan bahawa
penulis pernah melalui situasi seperti ini di mana sentiasa peka dengan tawaran biasiswa dari semasa ke semasa ketika
di peringkat pengajian asasi, lebih-lebih lagi penulis bukanlah anak orang
berada. Alhamdulillah, berkat usaha, doa dan tawakal kepada Allah, saya
mendapat tawaran JPA untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Mungkin giliran
anda pula selepas ini.Berbalik kepada persoalan topik utama kita, penulis pasti anda sendiri tahu apabila disebut bank konvensional semestinya ia melibatkan riba dalam sistem perbankan yang mana dipolopori fahaman sekular barat. Bahkan, Rasulullah (SAW) melaknat riba, mereka yang mengambilnya, penulis kontraknya dan juga mereka yang menjadi saksi kontrak itu. Tambahan lagi, Firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 278-279:
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa Riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), Maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), Maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak Menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.”
Baru-baru ini, diumumkan tawaran Biasiswa Maybank 2013 dibuka untuk semua pelajar asasi/setaraf dan tawaran ini akan ditutup pada 31 Mac ini. Persoalannya, adakah anda patut memohon biasiswa ini sedangkan masih terdapat banyak lagi biasiswa yang boleh dimohon? Terlalu mudah untuk anda dapatkan informasi biasiswa era kini dengan hanya memerlukan sedikit kesunggguhan anda mencarinya di internet, bertanya guru-guru di sekolah atau lebih mudah lagi anda boleh mendapatkan Kit Biasiswa yang mana segala informasi terkini dan terbaik tentang biasiswa terkandung dalamnya. Anda perlu ingat juga, secara tak langsung anda akan ditawarkan untuk bekerja dengan syarikat mereka setelah anda tamat pengajian. Jika anda bernasib baik, anda akan ditawarkan kerjaya bukan melibatkan diri anda secara langsung dengan riba dalam syarikat mereka seperti bahagian perkhidmatan, pekerja IT, juruwang, bendahari, penyelidik, penyelia bangunan dan mesin dan sebagainya, tapi apa kata sekiranya kerjaya yang ditawarkan itu tergolong dalam golongan yang dilaknat Rasulullah seperti di atas? Jelas di sini kita dapat melihat ada percampuran antara harta yang halal dan haram dalam bank konvensional. Oleh itu sebahagian ulama’ mengatakan dibolehkan sekiranya harta haram itu tidak dominan dari harta halal dan semestinya anda tidak terlibat secara langsung dalam riba. Contoh lain yang mudah untuk anda nampak ialah bagaimana pula dengan seseorang yang bekerja dengan kerajaan(guru sekolah) di mana harta kerajaan sebahagiannya juga bercampur dengan harta yang haram seperti cukai kilang rokok, judi, rumah pelacuran dan sebagainya, adakah guru yang mendidik anak watan bangsa ini haram menerima gaji dari kerajaan? Penulis pasti anda sudah tahu jawabannya berdasarkan hujah-hujah yang diterangkan di atas.
Dalam blog Dr. Zaharudin disimpulkan “ bekerja dengan bank berasaskan riba bukanlah pilihan kerja biasa bagi seseorang Muslim. Anda dibenarkan bekerja di dalam bidang itu jika anda dapati begitu sukar untuk mendapatkan kerja yang halal untuk mencari rezeki tetapi anda juga diingatkan untuk meninggalkan kerja ini ketika mana anda telah menemui kerja yang lebih sesuai. Allah akan mempermudahkan bagi anda jika anda mempasakkan niat ikhlas semata-mata kerana Allah dalam mencari pekerjaan halal untuk mencari rezeki, insyaAllah”. Semoga perbincangan yang ringkas ini dapat membuka dimensi fikiran anda terlebih dahulu sebelum anda bertindak semberono dalam memohon biasiswa. Wallahu'alam bissowab.
Penulis: Ahmad Faris
Rujukan:zaharudin.net
eramuslim.com
Ustaz Azhar Idrus
Pelajar Muamalat Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
Rujukan:zaharudin.net
eramuslim.com
Ustaz Azhar Idrus
Pelajar Muamalat Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya